fb fb fb fb fb

Pinda Akta Pengangkutan Jalan 1987 cegah mat rempit lumba haram

GEORGETOWN, 9 Ogos - Akta Pengangkutan Jalan 1987 bakal dipinda bagi mengenakan hukuman lebih tegas kepada individu yang menunggang motosikal secara melulu atau terlibat dengan lumba haram.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak berkata pindaan itu sebagai usaha membanteras kegiatan yang berbahaya kepada penunggang motosikal dan pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, cadangan pindaan itu melibatkan Seksyen 42 Akta Pengakutan Jalan 1987 membabitkan hukuman penjara dan denda yang lebih tinggi serta sitaan bengkel yang mengubah suai motosikal mat rempit untuk berlumba haram.

"Hasil perbincangan membawa kepada langkah penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang iaitu pemindaan akta berkenaan dan sepatutnya dibentang di Parlimen pada Oktober, namun tidak sempat kerana laporan penuh kemalangan baru sahaja diterima.

"Ia akan dibuat secara menyeluruh, bukan sahaja membabitkan pelumba haram dan mat rempit tetapi kepada semua yang berkenaan.

"Sebelum ini kita sudah buat pindaan akta bagi menangani isu pemandu mabuk serta dilihat berjaya mengurangkan kes itu dan pindaan APJ 1987 juga akan capai matlamat," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pindaan akta itu dijangka dibentangkan pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat pada tahun depan bagi memberi kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menguatkuasakan akta itu dengan lebih menyeluruh.

Menurutnya, pindaan itu susulan kejadian lima maut dalam kemalangan membabitkan motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, bulan lalu dan satu perbincangan dibuat antara kementerian serta PDRM hari ini bagi membendung kegiatan itu secara komphensif.

Media Baharu