(Dr Alias pada Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan dan Pelancaran Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam)
KUALA TERENGGANU, 3 April - Kerajaan Terengganu akan memperhebat kempen kesedaran vaksinasi untuk kanak-kanak termasuk melalui slot tazkirah di masjid dan surau sepanjang Ramadan kali ini.
Ia berikutan kedudukan negeri itu yang berada kedua tercorot dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak, PICKids sejak dilaksanakan Februari lalu.
(Dr Alias Razak)
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata setakat Jumaat lalu, hanya 12.4% daripada 178,700 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negeri ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.
"Sebenarnya kita nak menjaga keselamatan mengelakkan daripada terkena COVID-19 dan akhirnya dapat komplikasi yang teruk. Kini dalam fasa peralihan ke endemik maksudnya kawalan dari segi kerajaan dah terbuka, PKP sudah tidak ada kawalan lagi dan terserah pada masing-masing untuk menjaga.
"Jadi kalau kita membenarkan sektor ekonomi, jamuan, kahwin, kenduri, sembahyang rapat-rapat kita boleh bermoreh aktiviti sosial sudah tidak ada orang nak kawal, penting menjaga diri kita supaya kalau jangkit tidak teruk, itulah dengan vaksin," katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan dan Pelancaran Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Peringkat Negeri di UniSZA.