fb fb fb fb fb

Op Benteng, ATM sedia tingkat kekuatan anggota jika perlu

KUALA LUMPUR, 3 April - Kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini melalui 'jalan tikus' dijangka meningkat susulan pembukaan sempadan negara.

Sehubungan itu, kekuatan Op Benteng akan ditingkatkan dengan menambah jumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya terdapat keperluan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata kajian trend kemasukan pendatang tanpa izin dengan komander lapangan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum membuka tindakan susulan.

"Ini memang kita sudah jangka oleh yang demikian apa yang berlaku sekarang ini di pihak tentera, kawalan sempadan kita perketatkan melihat potensi mereka akan masuk. Buat masa ini Op Benteng masih lagi berjalan dan pendekatan ini telah pun kita beritahu kepada unit-unit yang membuat pengawalan untuk memperketatkan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja di Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

(Affendi (tengah) pada sidang media di Kem Sungai Besi)

Dalam pada itu, Affendi memaklumkan Maktab Tentera Diraja (MTD) akan ditambah baik melalui projek pengubahsuaian dan pembinaan blok tambahan bernilai hampir RM11 juta.

Katanya, projek merangkumi kompleks logistik dan senggara, kumpulan kenderaan, stor senjata dan laman niaga.

Projek telah bermula 15 Disember tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya 14 Jun 2023.

"Selain itu, MTD juga bakal dilengkapi dengan fasiliti sirkit rentas halangan serta menara abseiling dan flying fox yang baharu. Pembinaan sirkit dan menara berkenaan telah diluluskan dan kini dalam proses reka bentuk Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP)," jelasnya.

Media Baharu