fb fb fb fb fb

Aura Ramadan kembali dirasai, jemaah teruja tunai solat tarawih tanpa penjarakan fizikal

KUALA LUMPUR, 3 April - Ramadan tahun ini semestinya paling bermakna buat umat Islam di seluruh negara apabila kembali dibenarkan menunaikan solat tarawih secara berjemaah tanpa penjarakan fizikal.

Keterujaan warga kota menunaikan solat tarawih buat kali pertama selepas dua tahun dilanda pandemik COVID-19 menyaksikan kira-kira 5,000 jemaah hadir ke Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur malam tadi.

Solat sunat tarawih malam tadi diimamkan Imam Syeikh Abdul Rahman Al Dasuki Tahar Raduan dari Kaherah Mesir.

Jemaah yang ditemui selepas solat nyata teruja dan gembira dapat menunaikan solat tarawih secara berjemaah dengan SOP baharu itu.

"Rasa seronok selepas dua tahun kita solat di rumah, dengan budak-budak sekali boleh bawa masjid pun beri kebenaran, untuk ibubapa senang lagilah untuk beribadah," kata Muhamad Nasrul Naim.

(Muhamad Nasrul Naim)

"Alhamdulillah satu kelebihan sebenarnya sebab kita sudah dua tahun tidak merasai pengalaman macam ini, jadi bila dibenarkan keadaan sekarang pun kita dalam fasa peralihan ke endemik, Alhamdulillah boleh kembali mengimarahkan masjid seperti sebelum ini," menurut Ayob Hasan.

(Ayob Hasan)

Ruang masjid dibahagikan kepada tiga zon, zon A untuk solat tarawih 20 rakaat.

Manakala Zon B dan C untuk solat 8 rakaat.

"Antara syarat pertama SOP memastikan semua jemaah memakai pelitup muka, walaupun tiada penjarakan kita menggalakkan untuk mereka membawa sejadah sendiri dan pada masa sama melaksanakan kawalan kendiri masing-masing," kata Penolong Pengarah Khidmat Masjid Wilayah Persekutuan, Jamal Zaidi Ismail.

(Jamal Zaidi Ismail)

Ruang solat ditutup selepas Tadarus Al-Quran untuk disanitasi bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan dibuka semula pukul 4.00 pagi.

Media Baharu