fb fb fb fb fb

Kedai makan 24 jam, orang ramai ambil peluang bersahur

(Kedai makan kini beroperasi 24 jam)

KUALA LUMPUR, 3 April - Keputusan kerajaan membenarkan kedai makan beroperasi semula selama 24 jam bermula 1 April disambut baik oleh Keluarga Malaysia.

Ia membolehkan umat Islam bersahur di kedai makan ketika bulan Ramadan.

Tinjauan di sekitar ibu negara mendapati beberapa premis terutama restoran mamak telah memulakan semula operasi perniagaan mereka selama 24 jam.

Beberapa pelanggan yang ditemui berkata, langkah kerajaan dianggap tepat pada masanya untuk mengubat kerinduan.

(Farhan)

"Alhamdulillah boleh bersahur seperti biasa macam sebelum ini. Dapat menghabiskan masa di luar tetapi masih perlu mengekalkan SOP seperti memakai pelitup muka dan melakukan sanitasi," kata Farhan Fareed.

(Siti Razimah)

"Syukurlah sudah lama kita tak keluar makan bersahur hampir dua tahun, ini hari pertama jadi rasa seperti kembali kepada sedia kala semua. Harap akan berterusan macam ini tahun-tahun akan datang," menurut Siti Razimah A. Razak.

(Sazali)

"Alhamdulillah tahun ini dapat bersahur di luar, terima kasih kepada kerajaan dengan telah vaksin semua ini secara tidak langsung memberi kita imuniti. Walau kes tinggi tetapi yang serius itu tidak banyak. Bila buka balik macam ini Alhamdulillah kita dapat nikmati balik cara lama dulu," jelas Sazali Shaharudin.

Selepas dua tahun memerangi pandemik COVID-19, rakyat Malaysia kini memasuki fasa Peralihan ke Endemik dan kembali memulakan rutin harian seperti sedia kala dengan mengamalkan norma baharu.

Media Baharu