fb fb fb fb fb

Piala Tunku Azizah: Platform martabatkan Tenun Pahang Diraja berkualiti tinggi

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua, kanan) berkenan melihat proses menenun pada Sidang Media Piala Tunku Azizah di Kompleks Kraf Kuala Lumpur hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 April- Piala Tunku Azizah, Pertandingan Tenun Pahang Diraja dianjurkan sebagai satu platform untuk mengiktiraf dan mengetengahkan hasil karya tenunan berkualiti tinggi, selari dengan usaha memartabatkan warisan tekstil negara.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, selaku Penaung dan Pengasas Yayasan Tenun Pahang Diraja, berkenan berangkat ke majlis sidang media pertandingan berkenaan yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Dalam titah baginda, pertandingan tersebut bertujuan mencungkil bakat kreatif dan inovatif dalam kalangan penenun untuk menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang berkualiti tinggi dari segi estetika, rekaan, teknik, serta kemahiran dengan potensi nilai komersial.

Buat pertama kali, pertandingan menampilkan kategori khas bagi Kain Samping dan Sarung Corak Beragi, dengan syarat penyertaan menekankan penerapan elemen warisan Malaysia dalam aspek rekaan motif, pemilihan warna, teknik, dan amalan budaya.

"Jadi saya bukalah sendiri kepada sesiapa yang ingin memasuki pertandingan ini, tidak kira dari negeri mana. Syaratnya kena hantar dua kain, dan dua helai itu tidak semestinya design yang sama.

"Saya terbuka kepada semua. Tidak kira penjara-penjara ke, banduan-banduan ke, ataupun warden-warden yang mengajar, pengusaha-pengusaha dan juga pelajar-pelajar di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja. Kita terbuka kepada semua," titah Baginda.

Pertandingan anjuran Yayasan Tenun Diraja itu dijadual berlangsung pada 1 September 2025, dengan tawaran hadiah keseluruhan sebanyak RM75,000.

Tempat pertama akan membawa pulang RM30,000, piala dan sijil, diikuti RM20,000 untuk tempat kedua, dan RM10,000 bagi tempat ketiga. Lima hadiah saguhati turut ditawarkan, masing-masing bernilai RM3,000 beserta piala dan sijil.

Setakat ini, sebanyak 100 penyertaan telah diterima, dan penyertaan masih dibuka kepada orang awam yang berminat sehingga 30 April 2025.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE