KERIAN, 11 September - Empat lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi khas penyelewengan minyak sawit mentah dengan rampasan bernilai lebih RM1.1 juta.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, SAC Shahrum Hashim dalam kenyataan berkata, semua suspek berusia antara 26 hingga 44 tahun ditahan dalam Op Taring Palma pada 9 September lalu.
Operasi dijalankan dari pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam oleh Cawangan Risik Briged Utara PGA dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Utara, Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.
Beliau menjelaskan, pasukan operasi mengesan dua lori tangki membawa muatan mencurigakan di kawasan Kerian, Perak sebelum mengekori kenderaan berkenaan ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah (Utara).
Pemeriksaan mendapati minyak sawit mentah dipindahkan secara tidak sah ke sebuah lori bonded.
Hasil rampasan termasuk 15 tong biru berkapasiti 200 liter setiap satu dengan jumlah keseluruhan 85,000 kilogram minyak sawit mentah.
Turut dirampas dua lori tangki, satu lori bonded, peralatan pemindahan minyak dan empat telefon bimbit.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1,114,000.
Satu saman turut dikeluarkan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada MPOB Wilayah Utara untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.