KANGAR, 11 September- Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) kini secara rasmi dinaik taraf sebagai Sekolah Agama Seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dengan peruntukan khas RM20 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menerusi pengiktirafan tersebut, MATRI menjadi sekolah agama pertama yang diletakkan bawah seliaan MAIPs melalui Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Sejak ditubuhkan pada 1987, MATRI telah melahirkan ribuan pelajar yang berkhidmat dalam pelbagai bidang di seluruh dunia.
Kini, sekolah berkenaan mempunyai 243 pelajar termasuk 135 dari Perlis, 81 dari negeri lain serta 27 pelajar antarabangsa dari Thailand, Singapura, Indonesia, Mesir, Yaman, Kemboja, Palestin dan Afrika Selatan.
Keunikan MATRI terletak pada pendekatan tarbiah Islami secara menyeluruh yang menekankan akademik, sahsiah dan kerohanian.
Antara pengisian ialah solat berjemaah di awal waktu, tadabbur al-Quran, usrah berkumpulan, kuliah mingguan, program mentor-mentee dan pelbagai kem motivasi.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyempurnakan penyerahan peruntukan sempena Program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Baginda turut berkenan merasmikan Bilik S.O.L.E.H. sebagai ruang aktiviti pelajar yang berfungsi memperkukuh nilai kerohanian dan kepimpinan, selain mencungkil bakat serta mempersembahkan pencapaian dalam pelbagai bidang.
Berangkat mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.