(Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap pada sidang media)
PUTRAJAYA, 7 April - Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) pelitup muka bukan perubatan ke tarikh 1 Januari tahun hadapan.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas umum terhadap penguatkuasaan undang-undang tersebut.
Jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, penangguhan itu juga bagi memberi peluang kepada pihak industri dan pengguna untuk bersedia dan membuat persiapan apabila ia mula dikuatkuasakan.
"Sebab kita kementerian yang sentiasa prihatin dan sensitif kepada kehendak rakyat, selepas kita umumkan perwartaan ini ada banyak yang kita terima di mana kita memerlukan tempoh yang saya fikir sehingga hujung tahun untuk buat penyesuaian kepada perintah ini.
"Jadi saya nak beri amaran jelas kepada pihak industri suapaya tidak menggunakan ini sebagai alasan untuk menaikkan harga dan pelitup muka bukan perubatan," kata beliau selepas menyampaikan amanat pada sesi libat urus bersama pihak industri sempena perwartaan perintah tersebut, di sini.
(Foto fail)
Tambah Alexander, para pengguna tidak perlu bimbang kerana penguatkuasaan hanya dilakukan terhadap syarikat pengilang dan individu pengeluar sahaja.
Undang-undang tersebut sebelum ini telah diwartakan pada 5 April lalu dan dijadual berkuat kuasa pada 4 Julai ini.
Manakala penguatkuasaan perintah bagi rokok elektronik kekal pada tarikh 3 Ogos depan.
Pewartaan tersebut dibuat bagi memastikan pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik yang dihasilkan mempunyai penandaan MS SIRIM, mematuhi standard dan berkualiti demi keselamatan pengguna.