fb fb fb fb fb

Petani, penternak sara diri terjejas banjir di Negeri Sembilan terima RM1,000


SEREMBAN, 27 Januari
- Sebanyak RM491,000 diperuntukkan kerajaan Negeri Sembilan bagi membantu penternak dan petani sara diri berskala kecil di negeri itu yang terjejas banjir baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan tersebut sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib golongan itu yang terlibat dalam sektor agromakanan.

“Atas keprihatinan kerajaan negeri bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Negeri, Datuk Bakri Sawir, bagi membantu petani kecil yang terlibat dalam sektor agro-makanan. Saya difahamkan seramai 491 orang peternak lembu, peladang dan pengusaha sayur terjejas dengan kejadian banjir yang melanda negeri ini.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri bersetuju dan memberi sumbangan sebanyak RM1,000 bagi mereka terutama petani kecil yang terlibat dalam agromakanan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban.

Sebanyak RM22.5 juta kerugian hasil dialami sektor agromakanan di Negeri Sembilan melibatkan pengusaha kecil seperti sayur-sayuran akibat banjir baru-baru ini.

Media Baharu