fb fb fb fb fb

Petaling Jaya bakal jadi hab teknologi tinggi, semikonduktor – MBPJ

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon/RTM

PETALING JAYA, 1 Oktober – Petaling Jaya berpotensi muncul sebagai hab ekonomi berasaskan teknologi tinggi dan semikonduktor menerusi pembentangan Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi Seksyen 19, 51 dan 51A.

Pelan pembangunan melibatkan kawasan seluas lebih 400 hektar itu dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar melebihi RM1.7 bilion, sekali gus memperkukuh kedudukan Petaling Jaya sebagai pusat pelaburan utama di Selangor.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, antara fokus utama RKK termasuk pembangunan industri teknologi tinggi, pengezonan semula guna tanah serta projek perumahan berorientasikan transit di sekitar Stesen LRT Asia Jaya dan KTM Taman Dato’ Harun.

Turut dicadangkan, penyediaan kemudahan bandar pintar seperti tiang pintar, koridor hijau dan WiFi awam berkelajuan tinggi.

“RKK ini merupakan strategi pembangunan jangka panjang yang bukan sahaja memacu ekonomi, tetapi turut meningkatkan kualiti hidup penduduk dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Orang awam dijemput memberi maklum balas terhadap draf berkenaan yang kini dipamerkan di Ibu Pejabat MBPJ sehingga 27 Oktober, dengan satu sesi taklimat khas dijadualkan pada 16 Oktober ini.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI