KANGAR, 30 Ogos - Lebih 6,000 peserta bakal memeriahkan Pesta Tanglung 2025 Peringkat Negeri Perlis yang bakal berlangsung pada 4 Oktober 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khoon Aik, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Program, Gan Dee Hean berkata, pesta berkenaan bertujuan mempromosikan budaya masyarakat Cina kepada orang ramai, sekali gus menggalakkan penglibatan pelbagai kaum dalam suasana harmoni.
Katanya, penganjuran ini juga dapat memperkukuh perpaduan serta memberi peluang kepada masyarakat memahami bahawa Pesta Tanglung, atau dikenali sebagai Perayaan Pertengahan Musim Luruh, melambangkan berakhirnya musim menuai.
"Pada pesta tersebut terdapat pelbagai aktiviti yang menarik termasuk persembahan budaya, gerai makanan termasuk muslim dan no muslim,produk kreatif. lepas itu ada perarakan tanglung jalan-jalan kat taman serta pelbagai. pertandingan seperti pertandingan mewarna, pembuatan tanglung, kaligrafi, sudoku. memanah dan pertandingan pakaian kreatif bertemakan."
Beliau memaklumkannya kepada media bagi memberikan maklumat terkini penganjuran Pesta Tanglung Perlis 2025 di Dewan Perhimpunan Cina Perlis, di sini, hari ini.
Program anjuran Gerakan Belia Bersatu Malaysia bersama Jawatankuasa Perhubungan Negeri Perlis Persatuan Belia Buddhist Malaysia itu dilaksanakan atas inisiatif Dewan Perhimpunan Cina Negeri Perlis, dengan sokongan Majlis Belia Negeri Perlis dan Persatuan Hokkien Perlis.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs), Mohd Jeffry Hassan menyambut baik Pesta Tanglung 2025 Peringkat Negeri yang menjadikan Pesta Tanglung terbesar dilaksanakan di negeri itu.
"Satu program kebudayaan cina yang menjemput semua lapisan masyarakat, semua bangsa terutamanya di. negeri perlis dapat untuk sama-sama saling mengenali budaya kaum tiong hua. tahniah saya ucapkan kepada barisan orang muda," katanya.
Program turut mendapat sokongan daripada beberapa persatuan belia tempatan termasuk Youth Buddhist Fellowship, Youth Elite Fellowship dan Persatuan Confucian Chung De Negeri Perlis.