LANGKAWI, 30 Ogos – Pulau pelancongan terkenal di utara tanah air, Langkawi berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 3.5 juta pelancong pada tahun 2025.
Sehingga akhir Julai 2025, jumlah ketibaan pelancong telah mencecah lebih 1.5 juta orang, iaitu 43.6 peratus daripada sasaran keseluruhan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus berkata pelbagai program telah dirancang bagi menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus
“LADA yakin kedatangan pelancong akan meningkat sehingga 20 peratus pada Oktober ini berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan purata sekitar 150,000 pelancong sebulan.
“Beberapa hari lalu, LADA bersama Malaysian Aviation Group (MAG) telah melancarkan program Langkawi Special Deals untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Langkawi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan peruntukan fasa pertama Kampung Angkat Madani di Masjid Ar Rahmah, Mukim Kedawang, di sini.
Menurutnya, kempen Langkawi Special Deals menawarkan potongan harga eksklusif sehingga 70 peratus melibatkan tarikan pelancongan, hotel, premis makanan dan minuman (F&B), peruncit bebas cukai, pengendali pengangkutan serta penyedia perkhidmatan pelancongan lain di pulau itu.