fb fb fb fb fb

Pesta Gendang Nusantara 2024, MBMB terima dua anugerah MBOR

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam (tengah) memalu gendang sebagai gimik perasmian Persembahan Perdana Pesta Gendang Nusantara 2024 sempena Tahun Melawat Melaka (TMM2024) pada majlis perasmian persembahan tersebut di Dataran Melaka Bandaraya Melaka Bersejarah.

AYER KEROH, 7 Januari - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima dua pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) bersempena Pesta Gendang Nusantara 2024, di sini, malam tadi.

Dua sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan disaksikan oleh Yang Dipertua negeri, Tun Mohd Ali Rustam serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata dua pengiktirafan itu adalah bagi kategori Persembahan Gendang Nusantara Pertama dan Peserta Teramai dalam persembahan Gendang Nusantara.

Beliau berkata Pesta Gendang Nusantara mula dianjurkan pada 1995 bagi meraikan kepelbagaian budaya dan tradisi penggendangan di Malaysia dan nusantara.

"Pesta ini juga disertai oleh 32 kumpulan dari Malaysia, nusantara dan luar negara seperti Poland, Sri Lanka, Korea dan Thailand membabitkan 550 peserta yang beraksi mempamerkan seni penggendangan dari negara masing-masing.

"Pastinya kita buat persembahan Pesta Gendang Nusantara ini adalah semata-mata kita hendak menghidupkan kembali budaya di negara kita pertamanya dan keduanya untuk kita hendak melihat budaya di negara orang juga," katanya.

Tambah Shadan, Pesta Gendang Nusantara 2024 merupakan acara pembuka tirai bagi program Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), sekali gus mengetengahkan silang budaya antara negara terlibat dalam aspek seni penggendangan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN