ISTANBUL,19 April - Kesemua 19 peserta dari Malaysia yang menyertai misi “Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla” tiba di Istanbul, Turkiye pada 2.47 petang Khamis (waktu tempatan).
Kesemua mereka dijadual berada di Istanbul selama dua hari bagi menyertai latihan tanpa kekerasan yang dikendalikan Freedom Flotilla Coalition (FFC) sebagai syarat utama sebelum menyertai misi menghantar bantuan ke Gaza.
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata peserta akan menjalani latihan itu selama dua hari bermula HARI INI.
Misi kemanusiaan itu bersatu di bawah gerakan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang turut meliputi aktivis dari seluruh negara antaranya Turki, Kanada, Itali, Australia, Norway, Afrika, Sweden.
Tiga kapal akan belayar pada April ini terdiri daripada satu kapal kargo 5000 tan dan dua kapal penumpang .
Kapal berkenaan akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti ubat-ubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa kenderaan termasuk lapan ambulans.