fb fb fb fb fb

Pesawat Maritim Malaysia bantu padam kebakaran di Miri

Maritim Malaysia telah mengatur gerak pesawat Bombardier CL-415 miliknya, bagi membantu operasi memadamkan kebakaran hutan tanah gambut di kawasan Sungai Adong dekat sini, bermula semalam.

MIRI, 28 Mac- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengatur gerak pesawat Bombardier CL-415 miliknya, bagi membantu dalam operasi memadamkan kebakaran hutan tanah gambut secara bersepadu, bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di kawasan Sungai Adong dekat sini, bermula semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata operasi pemadaman kebakaran yang diaktifkan pada pukul 3 petang itu, bermula sebaik sahaja pesawat terbabit sampai semalam.

Katanya, pemadaman menggunakan pesawat itu, menerapkan teknik pengeboman air dengan menyasarkan kepala api.

“Sebanyak 30,000 liter air telah digunakan bagi memadamkan kebakaran tersebut. Anggaran kawasan yang terlibat dalam kebakaran ialah 60.70 hektar, dengan 60 peratus daripadanya telah berjaya dipadamkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata operasi tersebut turut melibatkan pelbagai jabatan dan agensi, termasuk syarikat swasta di daerah Miri yang datang memberi bantuan dalam mengawal dan memadam kebakaran tersebut, yang bermula Sabtu lalu.

Ujarnya, operasi pemadaman akan diteruskan sehingga seluruh kawasan kebakaran berjaya dipadamkan.

Orang awam juga dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka berikutan cuaca panas yang sedang melanda negara pada ketika ini.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan, orang ramai boleh menghubungi MERS 999 untuk maklum balas segera.

ZEHRA BINTI ZAMBRI