fb fb fb fb fb

Pesawat Boeing 737-8 dilancarkan, tingkat penerbangan domestik

Menterinya, Anthony Loke berkata pesawat canggih itu akan membantu meningkatkan penerbangan domestik.

KUALA LUMPUR, 20 November- Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan ketibaan pesawat Boeing 737-8 pertama milik syarikat induk syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG).

Menteri Pengangkutan , Anthony Loke berkata pesawat canggih itu akan membantu meningkatkan penerbangan domestik dan peringkat rantau ASEAN.

Beliau turut berharap perkhidmatan yang lebih baik disediakan pihak MAG kepada penumpang termasuk keselesaan dan makanan dalam kabin.

"Beberapa minggu akan datang akan ada pertambahan tiga pesawat baharu 737-8 ini dan sudah tentu dialu-alukan pihak kementerian termasuk makanan dalam pesawat yang menjadi banyak pertanyaan, tetapi pada 15 November lalu 'in flight meal' telah kembali," kata Anthony kepada pemberita di sini.

Pesawat Boeing 737-8 yang dilancarkan itu melaksanakan penerbangan komersial pertamanya ke Kota Kinabalu hari ini dari Kuala Lumpur pada pukul 3.40 petang tadi.

MAG juga telah memesan sebanyak 25 pesawat Boeing 737-8 melalui kontrak sewa operasinya dengan 'Air Lease Corporation' (ALC), yang akan dihantar secara berperingkat sehingga tahun 2026.

Pesawat itu akan menawarkan tempat duduk yang terdiri daripada 12 tempat duduk dalam kelas perniagaan selain 162 tempat duduk dalam kelas ekonomi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM