fb fb fb fb fb

Manfaat AI, jadikan diri lebih berdaya saing

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah bertitah penemuan teknologi AI membawa impak setaraf dengan teknologi komunikasi lain/FOTO UUM

SINTOK, 20 November - Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan agar dapat memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan atau 'Artificial Intelligence' (AI) untuk menjadi diri lebih berdaya saing.

Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Pro-Canselor bertitah, graduan perlu bersedia untuk memperbaiki diri agar lebih berkeupayaan berbanding AI.

Titahnya, AI telah menjadi pemangkin perubahan positif dalam pelbagai aspek kehidupan dan sebagai graduan yang cemerlang, anda semua seharusnya memanfaatkan AI dengan bijak demi meningkatkan produktiviti, prestasi, kemahiran dan berkeupayaan dalam pekerjaan untuk menjadi lebih berdaya saing.

"AI amat penting dalam kehidupan kita pada masa kini. Kita sedang berada di tengah-tengah revolusi teknologi berkaitan AI yang mengubah bentuk dunia kita. Penemuan teknologi AI ini mempunyai impak setaraf dengan penemuan internet, telefoni, dan lain-lain lagi.

"Sesungguhnya, AI bukan sahaja berkaitan kepada graduan dalam bidang teknologi maklumat atau komputer tetapi ianya merentasi semua disiplin ilmu termasuk pendidikan, statistik, multimedia, pengajian Islam, undang-undang, pentadbiran awam hingga ke perniagaan antarabangsa.

Titah Pro-Canselor, kesan AI boleh dilihat di mana-mana sama ada dari kereta pintar yang bergerak di jalan raya, sistem yang mengendalikan rumah pintar, penterjemah 'real-time' seperti Google Translate yang membantu manusia berkomunikasi dalam pelbagai bahasa atau algoritma yang mencadangkan lagu kegemaran di Spotify dan rekomendasi filem berdasarkan minat di Netflix.

Titahnya lagi, AI boleh berkomunikasi dalam berpuluh-puluh bahasa meskipun bahasa utama AI masih Bahasa Inggeris kerana data raya banyak dalam bahasa tersebut tetapi AI juga secepat kilat boleh menterjemahkan bahasa berkenaan.

Walau bagaimanapun, Pro-Canselor bertitah, terjemahannya setakat ini belum 100 peratus tepat. Ianya perlu disemak dan diedit kembali. Sekiranya tidak, ianya mungkin akan membawa maksud yang salah dan tidak profesional, malah boleh juga menjadi bahan jenaka.

"Inilah sebabnya saya percaya, penguasaan bahasa yang baik mesti ada pada semua graduan, kebolehan berbahasa Inggeris dan bahasa ketiga merupakan sesuatu yang wajib kini.

"Semua graduan perlu memastikan falsafah moral, akhlak dan adab mestilah menjadi kompas untuk memandu ke arah kehidupan yang lebih baik. Dugaan, ujian dan cabaran sentiasa akan muncul dalam perjalanan hidup ini. Kemunculan teknologi seperti AI tidak memberi manfaat semaksimum, jika falsafah hidup kita tidak berdasarkan prinsip-prinsip moral yang diterima sejagat," titahnya pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM di Dewan Mu'adzam Shah, pagi ini.

Tuanku Pro-Canselor bertitah, sikap, integriti dan disiplin mestilah sentiasa diperkukuhkan kerana dengan cara itu graduan dapat menjadi seorang warganegara yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri, malah memberi manfaat kepada orang lain, masyarakat dan negara.

Titanya, seharusnya graduan yang dihasilkan oleh universiti adalah mereka yang beradab dan proses menyempurnakan adab diri itu mesti berlaku secara berterusan, malahan janganlah ada dalam kalangan kita yang berilmu tetapi tidak beradab.

Pagi ini, seramai 727 graduan terdiri daripada penerima Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan sarjana menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Tuanku Pro-Canselor.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD