fb fb fb fb fb

10 tahun menanti, pasangan suami isteri kini bergelar 'Doktor'

FOTO FB UUM

SINTOK, 20 November - Penantian pasangan suami isteri selama 10 tahun sejak 2013 tidak sia-sia apabila masing-masing berjaya bergelar 'Doktor' pada Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung hari ini di Dewan Mu'adzam Shah.

Dr. Mohd Akhmarudi Mohd Yusoff, 45, dan Dr. Musliza Mat Jusoh, 45, dari Bachok, Kelantan berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD), seterusnya meraikan hari bersejarah itu bersama-sama pada sesi kedua, pagi tadi.

Menurut Kaunselor Berdaftar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor 2 itu, faktor kewangan, anak sakit dan ibu bapa tidak sihat ketika mereka mula sambung belajar tidak mematahkan semangat beliau dan isteri untuk menamatkan pengajian meskipun mengambil masa yang lama.

Menurutnya, desakan untuk menjadi contoh dan galakan kepada anak-anak serta pelajarnya mendorong untuk beliau meneruskan menuntut ilmu kerana bagi mereka ianya merupakan proses sepanjang hayat.

"Sesungguhnya, perjalanan menuju kejayaan dalam membuktikan sesuatu kepada agama, bangsa dan negara penuh dengan cabaran kerana ia tidak semudah yang disangka dan hanya yang menempuhinya sahaja pasti merasainya.

"Alhamdulillah, kami memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah S.W.T kerana akhirnya dapat menyiapkan tesis PhD dalam masa 10 tahun bermula 2013 hingga 2023," katanya yang menyiapkan tesis bertajuk 'Iklim Sekolah Sebagai Mediator Terhadap Hubungan Kepimpinan Instruksional dengan Kepuasan Kerja Guru'.

Pasangan suami isteri itu mendapat tunjuk ajar dan sokongan daripada Prof. Datuk Dr. Mohamad Fadzil Che Din dan Prof. Madya Dr. Siti Noor Ismail yang menjadi pencetus semangat mereka.

Sementara itu, Dr. Musliza berkata, PhD adalah erti sebuah kehidupan di mana dengan memiliki PhD inilah maruah mereka dapat ditebus daripada dihina, diberikan tohmahan yang bermacam-macam ekoran berasal dari keluarga petani yang susah.

Menurut ibu kepada empat anak itu, sesungguhnya hanya dengan kemajuan dalam pendidikan mampu mengubah nasib diri, agama, bangsa dan negara.

"PhD ini adalah lambang intelektual insan dan tesis ini merupakan satu pengkisahan kemenangan tentang sesuatu yang baik akan mengatasi yang buruk, tentang institusi kekeluargaan, kisah mengenai sebuah keluarga yang senantiasa bersama dan bersatu semasa menghadapi saat susah dan senang serta bersedia untuk menerima perubahan untuk maju ke hadapan.

"Tidak penting di mana dan bagaimana ia bermula tetapi yang penting di mana dan bagaimana ia berakhir," ujar Guru Kanan Teknik dan Vokasional SMK Beris Panchor itu.

Beliau juga berjaya menghasilkan tesis bertajuk ‘Pengaruh Efikasi Kendiri dan Kepuasan Kerja Guru Sebagai Mediator Terhadap Hubungan Iklim Sekolah dengan Komitmen Guru di Kelantan’.

Pasangan suami ini merupakan alumni UUM bagi program Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan) dan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan) sebelum menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah.

Mereka menerima ijazah Doktor Falsafah masing-masing yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.

Dalam titah Pro-Canselor turut menyatakan bahawa bukan mudah untuk boleh bertahan menyiapkan PhD selama 10 tahun itu seperti yang dilakukan oleh pasangan tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD