fb fb fb fb fb

Waspada amaran angin kencang, fenomena pasang besar diramal hingga 31 Disember

PASIR PUTEH, 20 November - Penduduk khususnya di sekitar pesisir pantai diingatkan untuk terus berwaspada hadapi gelombang monsun timur laut pada ketika ini.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, komuniti maritim seperti golongan nelayan, komuniti perkapalan, industri cari gali minyak dan penggemar aktiviti rekreasi laut turut diberi amaran angin kencang dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam.

Katanya, ketinggian ombak turut mencecah 3.5 meter mengikut ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Hujan lebat berterusan diramalkan berlaku sehingga Mac 2024. Fenomena pasang besar turut diramalkan bermula 19 November hingga 31 Disember. Situasi ini boleh meningkatkan risiko kepada semua komuniti maritim.

"Mereka yang akan ke laut supaya memaklumkan kepada ahli keluarga serta orang terdekat atau Maritim Malaysia tentang masa dan lokasi ketika berada laut nanti.

"Syed Nor Adli turut memohon supaya alat komunikasi dibawa dan berfungsi dengan baik bagi memudahkan perhubungan sekiranya menghadapi sebarang masalah ketika di laut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebagai persiapan menghadapi fasa-fasa monsun, cuti pegawai dan anggota Maritim Kelantan turut dibekukan untuk memaksimumkan bantuan sekiranya diperlukan.

Susulan itu, bagi memberi kesedaran mengenai keselamatan di laut, Maritim Kelantan telah melaksanakan pelbagai aktiviti seperti perjumpaan dengan komuniti dan rondaan pesisir laut turut digerakkan daripada pantai Tok Bali sehingga pantai Sri Tujuh.

Katanya, melalui kempen-kempen yang digerakkan, komuniti maritim diharapkan dapat membuat persiapan terbaik agar keselamatan nyawa dan harta benda terjamin selain dapat mengekalkan prestasi sifar kes CARILAMAT di perairan Kelantan.

"Sekiranya terdapat sebarang kecemasan di laut, hubungi Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-7780070 atau Malaysia Emergency Response Services (MERS) di talian 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN