fb fb fb fb fb

Pesawah diminta patuhi jadual penanaman padi

(FOTO RTM)

ALOR SETAR, 6 Oktober - Petani khususnya di kawasan Muda diminta mematuhi Jadual Penanaman Padi musim 2/2023 yang telah ditetapkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Langkah tersebut bagi memastikan penanaman padi dapat berjalan dengan lancar sekali gus dapat membantu meningkatkan hasil petani.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata ketidakpatuhan jadual penanaman padi seperti yang berlaku pada musim 1/2023 menimbulkan pelbagai implikasi.

Antaranya padi lambat dituai seperti yang dijadualkan dan bakal memberi kesan terhadap hasil dan juga jadual penanaman padi pada musim seterusnya.

Mengikut perancangan MADA, kesemua tanaman padi di kawasan Muda sepatutnya telah habis dituai dan ketika ini adalah kerja-kerja menyuburkan tanah dilakukan.

Namun sehingga kini, hanya kira-kira 35 peratus padi di kawasan Muda telah dituai.

Keadaan diburukkan lagi dengan kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini menyebabkan hampir seribu hektar kawasan tanaman padi ditenggelami air.

“Jadi mesej saya kepada peladang adalah untuk kita benar-benar menepati pematuhan jadual air dan juga penanaman untuk memastikan akhirnya jumlah hasil yang diperolehi adalah ke tahap yang kita perlukan, ke tahap yang maksimum, ke tahap yang akan memberi jaminan kepada keterjaminan makanan dalam konteks negara kita..” katanya kepada wartawan RTM di sini.

Jelas Datuk Dr Ismail, bagi aktiviti penanaman padi musim 2/2023, tarikh akhir menabur bagi Fasa I adalah 11 November.

“Manakala bagi Fasa dua, tarikh akhir menabur adalah 21 November dan tarikh akhir menabur bagi fasa tiga pada 1 Disember…” Katanya.

Kedudukan paras takungan air di Empangan MADA berada dalam keadaan mencukupi bagi menampung aktiviti tanaman padi Musim 2/2023.

Kawasan Muda merupakan pengeluar padi terbesar negara dengan keluasan pasel padi mencapai 100,641 hektar.

Daripada jumlah itu, 83,999 hektar berada di Kedah dan 16,642 hektar di Perlis.

Rekod purata lima tahun terkini iaitu sejak 2017 hingga 2021 menunjukkan pengeluaran padi Kawasan Muda telah menyumbang di antara 39 hingga 43 peratus padi setahun kepada negara.


(FOTO RTM)

Media Baharu