(Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyaksikan majlis tanda tangan MOU antara MAIPs dengan Yayasan Peneraju)
KUALA PERLIS, 6 Oktober- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera atau lebih dikenali sebagai Yayasan Peneraju menandatangani dokumen perjanjian kerjasama bagi pelaksanaan program penajaan latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan kepada warga asnaf di seluruh negeri Perlis.
Kerjasama berkenaan merupakan salah satu daripada inisiatif bersama antara MAIPs dan Yayasan Peneraju bagi membantu mempertingkatkan lagi bilangan tenaga kerja mahir dan separa mahir negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, perjanjian usahasama berkenaan adalah lanjutan daripada penyerahan surat hasrat kerjasama yang telah dipanjangkan oleh MAIPs kepada Yayasan peneraju sebelum ini.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dalam pelbagai bentuk dalam pembangunan pendidikan, latihan dan kemahiran ke arah pelaksanaan objektif dan program-program yang telah dirancang.
"MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn. Bhd. akan mengemukakan calon-calon asnaf yang berkelayakan untuk mengikuti kursus-kursus lanjutan sedia ada anjuran Yayasan Peneraju,"kata Mohd Nazim.
Pihak MAIPs diwakili Mohd Nazim, manakala Yayasan Peneraju pula diwakili oleh Dr. Amina Josetta Datuk Paduka Ahmad Kayani selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs di Masjid Al-Firdaus Padang Besar Selatan, Kuala Perlis.
"MAIPs berharap dan berdoa agar kerjasama ini dapat membantu meningkatkan lagi kemahiran individu yang diperlukan bagi membantu menaikkan taraf hidup golongan asnaf agar mereka mampu berdaya saing setelah tamat latihan melalui kursus-kursus yang dianjurkan,"kata Mohd Nazim.
(Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan titah)