fb fb fb fb fb

Dua warga emas maut, pajero langgar belakang treler

(Keadaan pajero yang dinaiki mangsa dipercayai merempuh belakang sebuah treler di
Kilometer 365 Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS), dekat Tanjung Malim, pagi ini/ Foto: JBPM Perak)

IPOH, 6 Oktober- Dua warga emas maut apabila kereta pacuan empat roda yang dinaiki mereka melanggar sebuah treler di Kilometer 365 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Slim River, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata , mangsa lelaki berusia 83 dan 76 tahun yang merupakan pemandu dan penumpang Mitsubishi Pajero itu tersepit dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kenderaan Pajero melanggar bahagian belakang lori treler menyebabkan dua mangsa di dalamnya tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.


(Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad)

Pemandu treler, 31 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anggota bomba menggunakan peralatan khas iaitu ‘power unit’ serta ‘rescue tool’ untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Isma Muhamad Ubaidullan Ahmad Rani tamat pukul 7.05 pagi. 

Media Baharu