fb fb fb fb fb

Pesara guru terharu terima kek coklat dari bekas pelajar

(Cikgu Marziah Che Ok bersama suami dan anak-anaknya menerima kunjungan daripada bekas pelajar semalam)

PADANG TERAP, 17 Mei - Walau sekecil-kecil pemberian tetap memberi makna buat insan yang menerima kejutan daripada orang yang tidak disangka-sangka.

Itulah momen manis dilalui seorang pesara guru yang lumpuh anggota badan akibat strok sejak 3 tahun lalu apabila bekas pelajarnya menghadiahkan kek coklat di kediamannya di Kampung Masjid Baru, Naka di sini sempena Hari Guru yang disambut seluruh negara, semalam.

Marziah Che Ok, 66, juga bergelar seorang ustazah ternyata terharu selepas menerima kunjungan bekas pelajarnya diketuai Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Padang Terap, Muhammad Jasnizam Husni .

"Kek ini sebagai tanda ingatan dan penghargaan atas jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat sebagai guru.

"Setiap anak murid pasti mengingati guru yang pernah mendidik mereka. Sebab cikgu berbeza dengan profesion yang lain, walau cikgu dah pencen tetap akan dipanggil cikgu sampai bila-bila," kata Jasnizam ketika ditemui RTM dalam sesi lawatan ke rumah Ustazah Marziah.

Tiada apa yang lebih menggembirakan Marziah apabila kebanyakkan bekas pelajar didikannya kini telah berjaya dalam bidang masing-masing.

"Dalam dunia pendidikan kita tidak boleh berputus asa. Walau susah mana sekalipun kena usaha agar setiap pelajar mendapat pendidikan yang sempurna, " katanya dalam keadaan nada sebak kepada RTM .

Ustazah Marziah mempunyai 7 orang anak kini semakin pulih selepas mengalami strok sejak Jun 2020 namun beliau sekali lagi berdepan dengan ujian apabila kaki kanannya retak selepas terjatuh di bilik air beberapa hari lalu.
 
Beliau mula berkhidmat sebagai guru mengajar subjek Pendidikan Islam pada tahun 1987 dan bersara pada tahun 2016.

Nuraini Mohd Noh yang juga bekas pelajarnya menyifatkan Ustazah Marziah sebagai seorang guru yang garang namun dalam ketegasannya, dia akui tetap terselit kelembutan yang ada untuk mendidik anak muridnya sebagai seorang manusia yang berguna.

 

Media Baharu