fb fb fb fb fb

Kalimah Allah: Kabinet mendapat perkenan YDPA persembah cadangan perkukuh dasar

KUALA LUMPUR, 17 Mei- Kabinet telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan media memaklumkan, pada masa sama langkah itu akan memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di negara ini.

Beliau menyatakan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah.

"Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014," menurut kenyataan tersebut.

Jemaah Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim / FOTO BERNAMA)

“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu,” ujar Perdana Menteri dalam kenyataan itu.

Media Baharu