fb fb fb fb fb

Peruntukan tambahan akan dimohon untuk keperluan penduduk terjejas banjir

Keadaan banjir di Kuala Krai

TANAH MERAH, 30 Disember- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan akan memohon peruntukan tambahan untuk keperluan penduduk terjejas banjir bagi melicinkan pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negeri itu sekiranya perlu.
 
Bagaimanapun, Timbalan Pengarah JKM Negeri, Md Yani Mat Zin berkata, ketika peruntukan kerajaan pusat mahupun negeri yang disalurkan kepada jabatan itu mencukupi.

Operasi PPS di seluruh jajahan sejak gelombang pertama banjir lalu di Kelantan juga masih terkawal.

"Semua barang-barang sudah ada di pangkalan hadapan, jadi pengurusan akan melibatkan pegawai di PPS masing-masing, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) jajahan pun telah meletakkan satu jawatankuasa.

"Jadi bekalan pangkalan hadapan telah ada semuanya terkawal dan tenang," katanya.

Beliau ditemui RTM selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Merbau, di sini
 
Dalam pada itu 160 pangkalan hadapan yang diwujudkan di seluruh jajahan juga berfungsi dengan baik seterusnya memudahkan proses agihan barangan keperluan kepada penduduk terjejas.
 
Sementara itu, keadaan terkini banjir melibatkan tiga jajahan di Kelantan beransur pulih berikutan cuaca baik sejak pagi.
 
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 4.00 petang tadi, penduduk terjejas yang ditempatkan di 13 PPS berkurang kepada 742 orang berbanding lebih 900 orang tengah hari tadi.
 
Lebih ramai penduduk terjejas turut dijangkakan pulang ke rumah masing–masing menjelang malam nanti.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI