JOHOR BAHRU, 30 Disember – Seorang pekerja kedai makan dihukum penjara 10 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah atas tuduhan memandu secara melulu dan membahayakan, pada Jumaat lalu.
Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Syafiq Jefri, 28, yang turut diperintah menjalani hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara melulu dengan melakukan aksi melawan arus serta tidak berhenti di lampu isyarat merah dan persimpangan, sekali gus membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Perbuatan tersebut dilakukan di Jalan Lingkaran Dalam sehingga Jalan Lembing Satu, Johor Bahru, pada pukul 3.45 pagi, 27 Disember lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/89) dan dihukum mengikut peruntukan akta yang sama.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S. Vikineswary, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut membatalkan lesen memandu tertuduh dan melucutkan kelayakannya untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.