fb fb fb fb fb

Inisiatif NDP, Melaka sasar LTAM jadi pemacu ekonomi negeri

Kerajaan Negeri Melaka optimis kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi inisiatif Network Development Programme (NDP) mampu merancakkan ekonomi negeri / Foto RTM

AYER KEROH, 30 Disember – Kerajaan Negeri Melaka optimis kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi inisiatif Network Development Programme (NDP) mampu merancakkan ekonomi negeri.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata inisiatif itu memberi manfaat besar bukan sahaja kepada syarikat penerbangan yang ingin beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), malah turut menyumbang kepada nilai positif untuk Melaka.

Menurutnya, langkah itu penting memandangkan LTAM menunjukkan peningkatan jumlah penumpang setiap bulan sejak Oktober lalu, dengan catatan seramai 8,455 penumpang setakat 25 Disember.

Katanya, setakat ini, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan tujuh syarikat penerbangan antarabangsa.

“Setakat ini, belum ada syarikat penerbangan yang memulakan operasi, namun rebat ini akan diperkenalkan mulai 1 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2027, iaitu untuk tempoh dua tahun. Kami menawarkan pelbagai jenis rebat, termasuk rebat peralatan, parkir, kemudahan lain, serta caj penumpang masuk ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini.

Tambahnya, inisiatif tersebut turut menawarkan pelbagai manfaat lain seperti pengecualian caj pendaratan, rebat kenaikan bilangan penumpang, dan sokongan pemasaran kepada syarikat penerbangan yang ingin memulakan operasi di mana-mana lapangan terbang di bawah kendalian MAHB, termasuk LTAM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN