BALING, 14 Februari- Sebanyak RM68,000 diperuntukkan merangkumi 45 projek pembaikan kerosakan dan bina semula infrastruktur yang musnah dalam banjir besar di Kg Iboi, Baling, Kedah pada tahun lalu.
Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah berkata pembaikan dan bina semula itu melibatkan jambatan-jambatan kecil, projek baik pulih sungai, kerosakan tebing, empangan sabo dan pembinaan semula jambatan Kg Iboi.
"Setakat ini beberapa kerosakan infra dibaik pulih, ada yang telah siap dibaik pulih, ada yang sedang dibaik pulih dan ada yang sedang menanti dibaik pulih. Antara yang telah dibaik pulih ialah jambatan atau titi kecil dan sebagainya," kata Mohd Shahadan kepada pemberita di sini.
Sementara itu, sebanyak 12 buah rumah baharu fasa pertama untuk penduduk yang terjejas banjir sudah hampir siap dan dijangka dapat didiami selepas Hari Raya Aidilfiri tahun ini.
Setakat ini pembinaan mencapai kemajuan 60%.
Pembinaan 17 buah lagi rumah bawah fasa kedua dijangka bermula Ogos setelah selesai proses pengambilan balik tanah.
(Mohd Shahadan berkata peruntukan RM68,000 bina semula infrastruktur musnah akibat banjir
besar Kg Iboi)