fb fb fb fb fb

Peruntukan RM6.266 juta, tingkat pengeluran getah di Kedah

Pengarah RISDA Kedah, Abdul Aziz Awang

KULIM, 5 Mei - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM6.266 juta bagi meningkatkan keluasan kawasan getah matang bertoreh dan meningkatkan pengeluaran getah bawah Model Pengeluaran Getah Negara (PETARA), di Kedah tahun ini.

Ia melalui Program Pengeluaran Hasil Getah Matang (PHGM) dan Program Pemulihan Getah Terbiar (PGT) melibatkan kawasan seluas 2,457.504 hektar.
 
Pengarah RISDA Kedah Abdul Aziz Awang berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM3.538 juta bawah PHGM meliputi pakej bantuan terdiri daripada set peralatan membuka tapak torehan, baja, racun, dan penyelenggaraan kawasan.
 
Manakala RM2.728 juta peruntukan bawah PGT bagi memulihkan 1,070 hektar kebun getah yang tidak diusahakan dan dibiarkan tanpa mengeluarkan sebarang hasil.
 
"Setakat ini boleh dikatakan (paling banyak) di Kawasan Baling, Padang Terap, Sik adalah semua kawasan mempunyai kawasan yang terbiar. Kita kempen secara sungguh-sungguhlah memastikan pekebun kecil mendapat pendapatan tinggi dan negara juga mendapat hasil daripada pengeluaran getah pekebun kecil," kata Aziz kepada pemberita selepas menghadiri Program Pekebun Kecil Makmur 2024 di Depo Pengumpulan Lateks Kampung Labu Besar, di sini.
 
Sebagai rekod, sebanyak 409,172 hektar getah matang tidak bertoreh dan tidak mengeluarkan hasil direkodkan di seluruh negara pada tahun 2023.
 
Ia mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 347,856 metrik tan dan menurun sebanyak 8 peratus berbanding tahun 2022.

TETITIA YUSOFF