fb fb fb fb fb

Peruntukan RM34.81 juta baiki 137 pondok, tahfiz seluruh negara

Foto RTM

IPOH, 11 Oktober - Peruntukan RM34.81 juta diluluskan bagi pelaksanaan 137 projek pembaikan kecil pondok dan sekolah tahfiz di seluruh negara, termasuk lapan di Perak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebahagian usaha memperkukuh pendidikan Islam serta pembangunan modal insan MADANI di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan memberi keutamaan kepada kerja baik pulih sekolah pondok daif bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk pelajar.

"Ini adalah dasar kerajaan iaitu mesti pulih kedudukan sekolah agama, sekolah pondok, maahad tahfiz. Itu dasar negara sekarang ini dan untuk permulaan dengan dana RM34 juta  kerana kerajaan belum lagi dapat maklumat. Kerana sesetengah sekolah pondok tak mahu bekerjasama  sama sekali. Tidak mengapalah,  perlahan-lahan. Tapi yang kita ambil yang sedia kerjasama," katanya.

Tambah Perdana Menteri, dasar berkenaan dilaksanakan semula sejak tahun 2022 selepas bantuan kepada institusi pondok dan tahfiz dihentikan lebih dua dekad lalu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kenduri Rakyat bersama warga sekolah pondok negeri Perak di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Ipoh.

EMMI NORALIZA ADNAN