SERI ISKANDAR, 11 Oktober - Pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mencerminkan iltizam kerajaan untuk mengeluarkan anak bangsa daripada kancah kemiskinan menerusi pendidikan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, insentif itu juga membantu mengurangkan kekangan kewangan bagi pelajar berkenaan untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
"Seperti yang diumumkan Yang Berhormat Perdana Menteri semalam. Bantuan akan disalurkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan RM2,700 dan ke bawah. Kita beri ruang kepada mereka untuk belajar tanpa perlu membayar PTPTN. Maksudnya pendidikan percuma di peringkat universiti. Inilah yang kerajaan MADANI usahakan kerana kita memahami akan keperluan anak yang berlatarbelakangkan keluarga B40 ini, " tambahnya.
Datuk Seri Dr Zambry ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Festival Idea (FOI) Peringkat Negeri Perak 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar.
Program dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan peruntukan sebanyak RM120 juta setahun untuk melaksanakan insentif tersebut.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada Perdana Menteri terhadap peruntukan dalam Belanjawan 2026.
KPT menerima sejumlah RM18.6 bilion berserta tambahan RM400 juta khusus bagi menyelenggara pelbagai institusi bawah kementerian berkenaan.
