Perluas peranan alumni sebagai rakan strategik universiti

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluas penglibatan alumni sebagai rakan strategik untuk menyokong agenda universiti dan kebolehpasaran graduan.
  • Mobilisasi sumbangan alumni dalam kewangan, biasiswa, penyelidikan dan pembangunan infrastruktur.
  • Mewujudkan struktur pengurusan alumni dan platform komunikasi dua hala yang mesra serta inklusif.
  • Kategorikan dan gerakkan alumni mengikut peranan untuk impak terarah, seperti mentor, penasihat dan penyumbang projek.

Dalam era persaingan bakat global serta keterbatasan sumber awam, universiti dituntut memanfaatkan sokongan strategik alumni bagi meningkatkan daya saing dan memacu kecemerlangan merentas pelbagai bidang. Sehubungan itu, peranan alumni wajar diperluas dan disepadukan dalam keseluruhan ekosistem universiti agar sumbangan mereka dapat diterjemahkan secara lebih bermakna dan berimpak.

Secara umumnya, alumni merujuk kepada individu yang pernah menuntut ilmu dan bergraduat dari sesebuah institusi pengajian tinggi. Namun, dalam konteks yang lebih luas, alumni merupakan sebahagian daripada identiti dan reputasi universiti itu sendiri.

Mereka membawa bersama nilai, budaya serta imej alma mater ke alam pekerjaan dan masyarakat. Kejayaan alumni menjadi cerminan kualiti universiti, manakala penglibatan aktif mereka pula berupaya memperkukuh hubungan universiti dengan industri, komuniti dan negara.

Selari dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, peranan alumni sebagai rakan strategik universiti menjadi semakin relevan dan kritikal. RPTM yang menekankan pembangunan graduan holistik, peningkatan kebolehpasaran bakat, pengukuhan jaringan universiti–industri serta kelestarian institusi memerlukan penglibatan aktif semua pemegang taruh.

Malah ia juga selari dengan salah satu tujahan utama dalam Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir iaitu “Alumni Back to Campus”.

Ironinya, walaupun bilangan alumni ramai namun tidak semua universiti berjaya memanfaatkan peranan mereka secara optimum dan strategik. Dalam konteks inilah, potensi alumni perlu dilihat bukan sekadar dari sudut kuantiti, tetapi keupayaan mereka untuk dimobilisasi secara strategik bagi menyokong agenda pendidikan tinggi negara. Tanpa perancangan yang jelas, potensi besar ini berisiko kekal sebagai sumber yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Sumbangan alumni boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk yang memberi impak langsung kepada universiti dan pelajar. Dari sudut kewangan, alumni boleh menyumbang melalui dana biasiswa, tabung kebajikan pelajar, sokongan kepada penyelidikan serta pembangunan infrastruktur universiti. Sumbangan ini amat bermakna, khususnya dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, sejajar dengan prinsip keadilan sosial yang menjadi teras pembangunan negara.

Selain itu, alumni boleh berkongsi kepakaran dan pengalaman industri melalui program mentor-mentee, syarahan jemputan, bengkel kerjaya serta penglibatan sebagai panel penasihat fakulti.

Penyediaan peluang latihan industri dan penempatan pekerjaan oleh alumni secara langsung menyokong agenda kebolehpasaran graduan, sekali gus merapatkan jurang antara latihan akademik dan keperluan sebenar pasaran kerja. Pendekatan ini juga selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan nilai kebersamaan, ihsan dan tanggungjawab sosial dalam pembangunan insan.

Bagi memastikan sumbangan alumni dapat digembleng secara berkesan, universiti perlu memainkan peranan proaktif dengan membuka ruang dan peluang yang jelas serta mesra alumni. Ini termasuk mewujudkan struktur pengurusan alumni yang mantap, platform komunikasi dua hala yang berterusan serta inisiatif yang relevan dengan minat dan kemampuan alumni. Pendekatan yang inklusif dan berfokus kepada impak akan menggalakkan penglibatan alumni secara lebih meluas dan berterusan.

Pendekatan ini dapat dilihat secara praktikal melalui pengalaman Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berjaya membangunkan ekosistem alumni berimpak. Pusat Perhubungan Alumni UPM misalnya berfungsi sebagai platform rasmi yang menyelaras hubungan alumni dengan universiti, di samping merancang dan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang melibatkan alumni secara langsung dalam pembangunan institusi dan pelajar.

Misalnya, alumni UPM dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Alumni Sulung, Alumni Tengah, Alumni Muda dan Alumni Bongsu sekali gus membuka ruang untuk memberikan sumbangan signifikan. Alumni Sulung berperanan sebagai penasihat, Alumni Tengah menjadi penggerak aktif dalam setiap aktiviti dan kebajikan, Alumni Muda pula menyumbang idea-idea kreatif, terkehadapan dan dekat dengan pelajar, manakala Alumni Bongsu lebih kepada sumbangan tenaga serta menjadi penghubung antara pelajar dan universiti.

Antara contoh sumbangan besar alumni UPM ialah penglibatan mereka dalam pembinaan Projek Menara Jam Warisan Putra, yang kini menjadi simbol identiti dan kebanggaan baharu seluruh warga kampus. Projek ini membuktikan bahawa sumbangan alumni bukan sahaja tertumpu kepada aspek akademik, malah merangkumi pemeliharaan warisan, nilai sejarah dan pembangunan fizikal universiti.

Selain itu, alumni UPM turut aktif menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar, termasuk di peringkat fakulti dan kolej kediaman melalui penajaan program pembangunan pelajar, sokongan aktiviti akademik dan kokurikulum serta penambahbaikan kemudahan pembelajaran.

Pengiktirafan kepimpinan universiti terhadap peranan alumni turut diperkukuh apabila Naib Canselor UPM dalam Amanat Tahun Baharu 2026 telah mengiktiraf alumni sebagai rakan strategik dan menyeru agar lebih ramai alumni tampil menyumbang. Pengiktirafan ini mencerminkan kesedaran bahawa alumni merupakan pemegang taruh penting dalam merealisasikan agenda universiti dan dasar pendidikan tinggi negara.

Dalam usaha memantapkan lagi pelibatan alumni, Pusat Perhubungan Alumni akan terus memperkasakan alumni antarabangsa melalui penubuhan Chapter Alumni Antarabangsa di beberapa lokasi strategik di luar negara. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan alumni, meningkatkan keterlibatan mereka dakam pelbagai program dan aktiviti universiti, serta memudahkan pengurusan dan komunikasi yang lebih berkesan bersama alumni di luar Malaysia.

Selain itu, Majlis Alumni Universiti Awam (MALUMNI) juga telah mengambil inisiatif melancarkan 473 Program Jalinan Alumni Prihatin (CAKNA) yang membawa aspirasi Cakna, Aspirasi, Kebajikan, Nilai dan Alumni untuk dilaksanakan di seluruh universiti awam pada tahun ini. Ia sekali gus mencerminkan komitmen bersama alumni dalam memperkukuh sumbangan kepada universiti, negara dan masyarakat secara lebih tersusun serta berimpak.

Justeru, agenda memperkasa peranan alumni sebagai rakan strategik wajar disepadukan secara lebih sistematik dalam ekosistem tadbir urus dan pembangunan universiti agar dapat mencapai aspirasi RPTM 2026–2035 serta tujahan KPT.

Tuntasnya, penglibatan alumni perlu terus diperteguh secara berstruktur dan berfokus kepada impak kerana sumbangan mereka berupaya melonjakkan kebolehpasaran graduan, merapatkan jurang universiti–industri serta menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan dan kemajuan negara secara menyeluruh dalam jangka panjang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Fahmi Azar Mistar
Pengarah
Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
e-mail: fame@upm.edu.my