KUALA LUMPUR, 14 Jun- Peruntukan RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, bertujuan memastikan kemampanan operasi organisasi media dalam agenda transformasi digital negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, usaha sama telah dilaksanakan sejak Mei lalu menerusi Projek Sigma yang melibatkan syarikat Google dan beberapa syarikat media swasta.
"Saya melihat hasil daripada usaha Projek SIGMA yang telah ditunjukkan baru-baru ini amat memberangsangkan. Jadi hasratnya dengan pengumuman RM30 juta itu bukan hanya untuk tujuan usaha seperti Projek SIGMA tetapi membantu organisasi media mencari mungkin platform baharu, audiens baharu, format baharu untuk membantu mereka mencapai kemampanan. Jadi kita harap akan membantu transformasi digital organisasi-organisasi media di Malaysia," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di ibu negara.
Disoal mengenai mekanisme peruntukan RM30 juta itu, Datuk Fahmi berkata, perkara tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Saya akan serahkan kepada pihak kementerian mungkin daripada salah satu bahagian akan menguruskan seperti dana yang lazim yang akan diuruskan kementerian.
"Kita jangkakan dalam masa terdekat Kementerian Komunikasi akan mengumumkan mekanisme yang lebih spesifik," jelas beliau.