KUALA LUMPUR, 14 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan segera untuk merombak pendekatan latihan negara agar selari dengan perubahan pesat dunia, terutamanya dalam sektor digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan semikonduktor.
Beliau berkata, perubahan itu penting berikutan negara kini menjadi hub utama dalam sektor semikonduktor rantau ASEAN memandangkan
Hampir semua syarikat semikonduktor terbesar dan AI itu berpangkalan di Malaysia.

"Ini hanya akan berhasil kalau jenis latihan apa yang disebut peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) itu diberi penekanan.
"Guru-guru harus didedahkan dengan AI, anak-anak di sekolah harus diberikan pengetahuan yang lebih mendalam tentang AI. Kalau tidak, akan ada kelompangan di antara memenuhi keperluan semasa dengan anak-anak yang diberi latihan," katanya.
Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa permohonan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kian meningkat, termasuk dalam kalangan pelajar cemerlang, mencerminkan perubahan tanggapan masyarakat terhadap pendidikan teknikal.
"Maknanya ada anjakan, bukan salah anak-anak, tetapi keperluan pengubal dasar dan pelaksana untuk memberikan mereka peluang serta kesempatan.
"Jika dilihat sistem latihan yang lebih kemas, diuruskan dengan lebih baik, maka baharulah boleh kita capai dan menyakinkan," katanya.