KUALA LUMPUR, 15 Jun - Kira-kira 30,000 golongan belia hadir memeriahkan sambutan Hari Belia Negara 2025 bertempat di Dataran Merdeka, malam tadi.
Program tiga hari yang berlangsung sejak Jumaat lepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambutan Hari Belia Negara diraikan pada tanggal 15 Mei setiap tahun padat dengan pelbagai pengisian.
'Yakin Boleh' dipilih sebagai tema sambutan tahun ini.
Kemuncak majlis tersebut adalah penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2025.
Bagi kategori Emas Remaja Perdana dimenangi pekerja swasta, Zulkhairi Zainal Hisham, 26, yang membawa pulang hadiah berjumlah RM10,000.
Zulkhairi tidak menyangka memenangi anugerah tersebut memandangkan beliau antara peserta termuda yang bersaing dalam kategori itu.
"Saya melatih anak-anak buah untuk menjadi 'live hos' bagi menjana pendapatan daripada platform dalam talian seperti TikTok. Ini termasuk mengajar bagaimana untuk menjual produk menerusi platform digital," katanya kepada RTM di sini.
Pengurus pemasaran, Nur Azreena Faizan, 25, yang dinobatkan sebagai naib johan kategori wanita menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan atas pengiktirafan tersebut.
"Saya mewakili belia wanita ingin membawa suara anak muda ke arah pembangunan belia yang lebih mampan dan berani ke hadapan," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Belia Terengganu, Tengku Mohd Saifuddin Tengku Jalal menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung peruntukan untuk pembangunan belia.
"Ia merupakan suntikan yang bagus untuk kami terus bergerak aktif mengadakan program bagi memastikan belia terus bergerak seiring dengan negara," katanya.
Dalam majlis itu, Datuk Seri Anwar mengumumkan peruntukan tambahan daripada RM3 juta kepada RM4 juta untuk Majlis Belia Malaysia serta menyatakan komitmen kerajaan dalam menyegerakan dana bagi penubuhan Akademi Sepak Takraw Negara.