KUALA LUMPUR, 8 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan permulaan peruntukan RM1 juta untuk Tabung KASIH Rahmah Wanita di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
Jelasnya, tabung itu bagi membantu golongan wanita yang dalam keadaan terdesak termasuk mangsa keganasan rumah tangga dan wanita yang diabaikan oleh ahli keluarga sebelum dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim)
"Tabung Kasih Rahmah Wanita ini yang dicadangkan kementerian, maka saya akan...ini termasuk beberapa isu tertentu khusus yang mendesak yang tidak masuk dalam KASIH (tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023).
"Kementerian mohon supaya kita sediakan wang peruntukan kecil permulaan supaya dapat diberikan bantuan segera.
"Saya luluskan RM1 juta untuk tujuan tersebut,"katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Antarabangsa 2023, di ibu negara, hari ini.
Turut hadir Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bersama timbalan menterinya, Aiman Athirah Sabu dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut Anwar, pelaksanaan tabung itu diharap dapat menggalakkan lebih banyak pihak melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sekali gus lebih banyak program pemerkasaan wanita dapat ditambah baik.
Perdana Menteri turut bersetuju memberikan peruntukan permulaan sebanyak RM500,000 kepada Institut Sosial Malaysia (ISM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.