fb fb fb fb fb

Peruntukan PHEKS dinaikkan kepada RM5.8 juta, tahun ini

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong/Foto Jabatan Penerangan

PUTRAJAYA, 17 Januari- Peruntukan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) tahun ini, dinaikkan kepada RM5.8 juta berbanding RM2.6 juta tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata had maksimum permohonan geran untuk kesatuan sekerja juga dinaikkan kepada RM20,000 tahun ini berbanding RM10,000 tahun lepas bagi memperkasakan pengurusan hal ehwal kesatuan sekerja.

"Pemberian geran PHEKS tersebut adalah tertakluk pada syarat-syarat yang ditetapkan", katanya.

Beliau berkata, dua jawatankuasa ditubuhkan bagi tujuan penilaian permohonan iaitu Jawatankuasa Teknikal PHEKS dan Jawatankuasa Panel Penilai atau Pelulus PHEKS.

Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) akan mempromosi geran serta program di bawah PHEKS kepada semua kesatuan sekerja melalui Pejabat Negeri JHEKS di seluruh negara melalui sesi taklimat secara bersemuka dan pengiklanan di laman sesawang Jabatan iaitu jheks.mohr.gov.my.

Dalam pada itu beliau turut menyarankan kesemua kesatuan sekerja untuk menyertai inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

ROSLINA BINTI DIN