
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Peruntukan bagi Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI pada 2027 ditingkatkan kepada RM750 juta berbanding RM630 juta sebelum ini, dengan sasaran 35,000 penganjuran di seluruh negara.
- 30,000 Jualan RAHMAH akan dilaksanakan melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri, termasuk Jualan Borong bantu peniaga kecil.
- Tumpuan pada penambahan penganjuran di kawasan desa, perumahan kos rendah dan PPR, serta perluasan melalui mesin layan diri.
- 5,000 Jualan Agro MADANI menawarkan hasil tani segar termasuk ikan, ayam, sayur dan buah sehingga 30 peratus lebih murah.
- Peruntukan RM250 juta disediakan untuk memperluas pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman, melibatkan enam lokasi baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 30,000 Jualan RAHMAH akan dilaksanakan melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tumpuan akan diberikan kepada penambahan penganjuran di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar, selain memperluas pelaksanaannya menerusi mesin layan diri.
“Jualan RAHMAH MADANI Borong turut dianjurkan bagi membantu peniaga kecil,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas Datuk Seri Anwar lagi, sebanyak 5,000 Jualan Agro MADANI pula akan dilaksanakan dengan menawarkan hasil tani segar termasuk ikan, ayam, sayur dan buah pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.
Selain itu, peruntukan RM250 juta turut disediakan bagi memperluas pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman.
Langkah tersebut meliputi enam lokasi baharu, antaranya Kampung Terian di Penampang, Sabah dan Kampung Dato’ Godam di Pusa, Sarawak.