KUALA LUMPUR, 21 Disember - Peruntukan 'Deeming' yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 diyakini dapat membantu usaha membanteras isu penyalahgunaan platform digital.
Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Antarabangsa) Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Dr. Nooralisa Mohd Tuah berkata, ini termasuk penyebaran kandungan tidak sesuai dan kegiatan penipuan.
Langkah tersebut dapat mengurangkan risiko terhadap keselamatan pengguna terutamanya kanak-kanak dan warga emas yang semakin terdedah kepada pengaruh negatif platform digital.
"Apabila kita menggunakan aplikasi ini, terdapat banyak akses luar yang tidak diketahui. Dengan adanya akta ini, ia boleh disekat dengan lebih baik. Di Malaysia, kita tahu terdapat banyak kes penipuan dan kerosakan sosial yang mungkin dapat dielakkan apabila kandungan-kandungan yang tidak sepatutnya dikawal dengan lebih baik," katanya.
Beliau turut menegaskan, pelaksanaan peruntukan 'Deeming' berkenaan berupaya meningkatkan tahap akauntabiliti dalam kalangan pengguna digital.
Menerusinya, setiap pengguna bukan sahaja bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsi, malah kesannya terhadap komuniti digital secara keseluruhan.
Peruntukan 'Deeming' di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menganggap platform media sosial dan perkhidmatan pesanan besar sebagai pemegang lesen di Malaysia secara automatik.
Ini bagi memastikan platform dan pemegang lesen tersebut bertanggungjawab di bawah undang-undang tempatan dan mematuhi peraturan keselamatan dalam talian.###