GEORGE TOWN, 21 Disember - Sektor korporat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Pulau Pinang disaran memainkan peranan aktif dalam menjaga kebajikan warga emas di negeri berkenaan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan, langkah itu boleh dilaksanakan melalui pelbagai bentuk Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
"Inisiatif ini bagi memastikan golongan warga emas berasa tidak dipinggirkan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada masyarakat," katanya ketika berucap pada Acara Larian 'Charity With Love' bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-90 Rumah Kebajikan Warga Emas Silver Jubilee, di sin
Menerusi acara larian tersebut, dana berjumlah lebih RM400,000 berjaya dikumpulkan dan akan dimanfaatkan untuk menyokong pengoperasian rumah kebajikan tersebut.
Ini termasuk perbelanjaan makanan dan perubatan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup para penghuninya.
"Kita mengalu-alukan pelaksanaan CSR di sini, sama ada menerusi penyaluran bantuan tunai dan barangan keperluan asas, mahupun sumbangan tenaga dengan melaksana kerja pembersihan secara bergotong-royong," katanya lagi.
Dalam satu kenyataan berasingan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, beliau memaklumkan, jumlah penyertaan dan kutipan dana memberangsangkan yang diperoleh menerusi acara larian tersebut, mencerminkan semangat keprihatinan serta tanggungjawab berterusan masyarakat di Pulau Pinang.
Ia selaras dengan visi Penang2030 untuk menjadi sebuah negeri yang inklusif dan berteraskan rakyat.