fb fb fb fb fb

Malaysia anjur Mesyuarat Khas ASEAN tangani ketegangan Kemboja–Thailand

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 21 Disember - Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN bagi membincangkan situasi terkini antara Kemboja dan Thailand akan dianjurkan Malaysia selaku Kepengerusian ASEAN.

Mesyuarat Khas itu berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Disember 2025, susulan persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia, Kemboja dan Thailand dalam pertemuan pada 11 Disember lalu.

Dalam kenyataan Wisma Putra, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, dan berfungsi sebagai wadah kepada Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa antara kedua-dua negara terbabit.

Selain itu, mesyuarat tersebut akan mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ASEAN bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan serta menghentikan sebarang permusuhan, demi memastikan keamanan dan kestabilan antara kedua-dua negara serta rantau ini secara keseluruhan.

Mesyuarat Khas itu mencerminkan komitmen berterusan ASEAN terhadap perpaduan dan solidariti serantau, serta menegaskan kepentingan Kepusatan ASEAN dalam memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini selaras dengan Piagam ASEAN dan Triti Persahabatan serta Kerjasama di Asia Tenggara.

Malaysia kekal komited untuk memainkan peranan yang konstruktif dalam memudah cara dialog berlandaskan semangat ASEAN, serta membantu kedua-dua pihak menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, hubungan kejiranan yang baik dan kewujudan bersama secara aman.

Dalam masa sama, Malaysia turut menegaskan kepentingan kerjasama dua hala dan pelbagai hala sebagai asas ke arah mencapai penyelesaian yang aman, adil dan berkekalan terhadap sebarang pertikaian.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN