fb fb fb fb fb

Pembangunan semula Kg. Sg. Baru: Pemaju digesa siapkan kediaman dijanjikan dalam masa ditetapkan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Pemaju projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di sini digesa menyiapkan kediaman baharu yang dijanjikan sebagai pampasan kepada penduduk asal kawasan berkenaan dalam tempoh masa ditetapkan.

Tegas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ini memandangkan terdapat penduduk yang sudah berpindah dari kediaman asal tetapi mendakwa masih belum menerima rumah baharu seperti dalam perjanjian yang dipersetujui bersama.

Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mahu pemaju berkaitan benar-benar mengambil serius isu berkenaan dengan mengutamakan pembinaan kediaman yang membabitkan dua blok pangsapuri itu terlebih dahulu, sebelum melaksanakan pembangunan projek komersial.

Langkah tersebut penting demi kebajikan dan keadilan terhadap penduduk asal kawasan berkenaan.

“Dia jangan sibuk nak buat benda-benda lain. Selesaikan dahulu dua blok ini supaya boleh bawa orang masuk. Kalau dia nak buat semua, bila nak siap? Dia nak buat semua itu untuk dia jual kepada orang luar, tetapi pemilik asal tanah ini, bagaimana?” tegasnya.

Datuk Seri Johari ditemui pada Program Citrawarna Kampong Bharu 2025 bersempena Sambutan 125 Tahun Kampong Bharu di sini hari ini.

Projek pembangunan semula kawasan Kampung Sungai Baru bermula secara rasmi pada 30 November lepas dan dijangka siap dalam masa empat tahun. ####

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR