KUALA LUMPUR, 21 Disember - Seramai 2,854 penduduk daripada 933 keluarga terjejas banjir di empat negeri, setakat pukul 3.00 petang tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia melibatkan Pahang, Terengganu, Selangor dan Sarawak dengan 41 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Di Pahang, seramai 2,731 penduduk daripada 901 keluarga terjejas dengan banjir.
Setakat ini, 35 PPS dibuka di negeri tersebut.
"Kuantan mencatat jumlah penduduk paling tinggi terjejas banjir dengan 2,094 orang, Pekan (430 orang), Bera (69 orang), Maran (35 orang) dan Temerloh (43 orang)," menurut kenyataan itu.
Sementara di Terengganu, 80 penduduk daripada 24 keluarga ditempatkan tiga PPS negeri itu.
"Di Kemaman, satu PPS dibuka; menempatkan 80 penduduk terjejas banjir daripada 24 keluarga. Manakala Dungun, dua PPS dibuka di daerah terbabit," menurut kenyataan sama.
Di Selangor, 25 penduduk daripada lima keluarga terjejas banjir ditempatkan di satu PPS.
Sarawak pula, 18 penduduk daripada tiga keluarga terjejas dengan banjir.