fb fb fb fb fb

Peruntukan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dijangka cecah RM2 bilion - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 20 Januari - Nilai keseluruhan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dijangka mencecah RM2 bilion berbanding RM1.4 bilion yang diperuntukkan sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan sasaran itu mengambil kira pelaksanaan pelbagai bantuan di samping keperluan pembaikan rumah dan fasiliti awam.

"Kementerian Kewangan amat responsif dalam menyalurkan peruntukan seawal 28 Disember 2021. Setakat ini, MOF telah pun menyalurkan peruntukan yang setakat ini berjumlah RM300 juta untuk bencana banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara atau KWABBN," kata Tengku Zafrul.

Selain bantuan tunai, inisiatif komuniti dan kemudahan pinjaman turut disalurkan kepada mangsa banjir.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah bertindak dalam menyelaras senarai mangsa-mangsa banjir yang layak menerima Bantuan Banjir Keluarga Malaysia," tambahnya.

Tengku Datuk Seri Zafrul berkata demikian selepas Sesi pembentangan Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia sempena Mesyuarat Khas Dewan Rakyat 2022 di Parlimen.

 

Media Baharu