KUALA LUMPUR, 20 Januari - Fasa 1 kerja-kerja pembersihan pascabanjir di enam buah negeri terlibat sudah mencapai 99.67 peratus sehingga 18 Januari lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi kerja-kerja pembersihan fasa dua melibatkan negeri Sembilan dan Melaka, ianya sudah mencapai 100 peratus siap dibersihkan.
Katanya, Secara keseluruhan jumlah sisa terkumpul yang dibersihkan bagi fasa satu dan dua adalah sebanyak 85,516 tan.
"Sehingga 11 Januari 2022, semua kawasan yang terjejas bekalan elektrik telah disambung semula. Sehingga 19 Januari 2022, sebanyak 1,058 dari 1,066 infrastruktur komunikasi atau 99 peratus daripada jumlah keseluruhan lokasi infrastruktur komunikasi telah diperbaiki," katanya ketika memberikan penerangan berhubung Bantuan Bencana Banjir pada Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Manakala, bagi kerosakan infrastruktur awam, premis-premis Kerajaan, kerugian perniagaan, kediaman rakyat dan lain-lain kerosakan kini sedang dinilai oleh agensi yang berkaitan.
"Setakat ini, sebanyak 2,180 unit pencawang elektrik, 1,066 unit menara komunikasi, lima lokasi jambatan runtuh atau rosak dan 61 lokasi jalan telah mengalami kerosakan akibat banjir," katanya.