KUALA LUMPUR, 20 Januari- Kerajaan menzahirkan perasaan dukacita terhadap bencana alam yang telah melanda negara bermula penghujung tahun 2021 disebabkan oleh taburan hujan yang luar biasa.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau telah mengambil tindakan segera bagi menghadapi situasi itu termasuk banjir luar jangka yang berlaku di Selangor.
Antara langkah awal yang dilakukan pada malam pertama kejadian banjir buruk berlaku termasuklah bergegas ke Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi mengetahui situasi sebenar dan maklumat terkini berkaitan banjir.
Beliau juga telah mengarahkan talian hotline NDCC dibuka sepenuhnya bagi memudahkan aduan dan pertanyaan berkaitan banjir seterusnya membuat sidang media secara langsung bagi memberitahu keadaan semasa kepada orang awam.
Sejurus itu, beliau terus turun padang dan melakukan tinjauan situasi banjir di Kampung Bukit Lanchong, Putra Heights sehingga lewat malam.
"Saya sendiri telah menghubungi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD) dan Ketua Polis Negara (IGP) bagi menggerakkan anggota dan aset tambahan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari negeri berhampiran ke Negeri Selangor bagi membantu pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta lain-lain agensi yang sedang giat melaksanakan operasi menyelamat.
"Ini kerana sebahagian besar aset seperti bot penyelamat telah siap sedia ditempatkan di negeri-negeri lain khususnya Pantai Timur yang dijangka berisiko berdepan dengan banjir besar," jelas Perdana Menteri pada Mesyuarat Khas Penggal Ke-4, Parlimen Ke-14 Dewan Rakyat di bangunan parlimen hari ini.
Tambahnya, susulan daripada komunikasi tersebut, PAT telah mengarahkan Panglima 11 Briged untuk serta-merta mengatur gerak anggota dan aset tambahan ke kawasan terjejas banjir.
Ketua Polis Negara juga telah mengarahkan tambahan anggota dan aset dari negeri-negeri yang berhampiran untuk membantu pasukan sedia ada.
"Keesokannya pada Ahad 19 Disember 2021, saya juga telah melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Klang dan PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia, katanya.
Hujung tahun lalu, tidak kurang lapan negeri termasuk Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor mengalami bencana banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan berikutan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula dari 3 November 2021 hingga Mac tahun ini.
Setakat 11 Januari lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) merekodkan sebanyak 4 episod hujan lebat berterusan telah berlaku iaitu pada 10 November; 2 hingga 4 Disember 2021; 12 hingga 19 Disember 2021 dan terakhir pada 27 Disember 2021 hingga 4 Januari 2022.