fb fb fb fb fb

Perubahan iklim: Anwar gesa negara maju tunai komitmen sedia AS$100 bilion

(FOTO RTM)

NEW YORK, 23 September- Malaysia menggesa negara maju menunaikan komitmen mereka untuk menyediakan AS$100 bilion bagi menyokong negara membangun terhadap usaha aspirasi iklim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Saintis telah mengesahkan dunia baru sahaja mengalami peningkatan suhu mendadak dalam sejarah.

"Malaysia sedang menyaksikan peningkatan dalam kesan buruk perubahan iklim dengan peningkatan suhu, peningkatan paras laut, monsun yang bertambah buruk dan corak cuaca yang tidak menentu.

"Kesemua ini menggugat kehidupan dan mendegradasi ekosistem tempatan. Justeru, kami tidak mahu membuang masa", katanya ketika berucap menyampaikan kenyataan negara di Perhimpunan Agung PBB ke-78 di sini pada Jumaat.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia memainkan peranannya dengan membangunkan pelan hala tuju rendah karbon dan tenaga boleh diperbaharui bagi melaksanakan strategi penyesuaian dan mitigasi .

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengetengahkan tahap kemajuan Laporan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Anwar berkata tindakan rangsangan ekonomi global masih di tahap tidak stabil.

Ini berikutan ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga komoditi serta kewangan yang mencabar, dan menyebabkan hampir satu pertiga ketinggalan daripada sasaran.

Tegasnya, situasi tersebut telah meluaskan jurang antara pertumbuhan ekonomi dan pendapatan.

"Jurang perbezaan dapat dilihat dalam aspek keperluan asas, tempat tinggal, akses kepada pendidikan berkualiti dan penjagaan kesihatan.

"Faktor-faktor tersebut menuntut kepada reformasi yang drastik. Jika tidak, kita akan terus dibayangi ketidaksamaan yang semakin besar", katanya.



(FOTO AFP)

Media Baharu