fb fb fb fb fb

Perubahan harga jualan makanan perlu munasabah, tidak bebankan pengguna



KUALA LUMPUR, 24 Januari - Peniaga tidak dibenarkan melakukan perubahan harga yang tidak seiring dengan kenaikan kos ditanggung.

Sebarang perubahan harga jual perlu munasabah agar tidak membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid, berkata ini kerana peniaga tertakluk kepada peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Akta itu memperuntukkan bahawa peniaga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya perubahan harga yang dibuat menunjukkan kenaikan yang terlalu tinggi, mendadak dan mengambil untung secara tidak munasabah atau berlebihan,” kata Rosol dalam satu kenyataan.

Jelasnya, tiada istilah kerajaan memberi kebenaran kepada peniaga untuk menaikkan harga makanan dijual seperti dilaporkan.

Beliau menekankan mengenai penguatkuasaan kementerian dalam isu kenaikan harga barang dan makanan.

“Maksud sebenar saya berhubung 'peniaga boleh naikkan harga asalkan tidak mencatut' adalah menerangkan maksud berikut iaitu, selaras dengan penguatkuasaan AKHAP 2011, peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah dalam membuat sebarang perubahan harga jual, tetapi tetap tertakluk kepada peraturan-peraturan dibawah AKHAP 2011, termasuk tidak mencatut," katanya lagi.

Menurut Rosol, sekiranya kementerian menerima aduan berhubung harga peniaga yang diadu akan disiasat dan boleh dikenakan tindakan dibawah AKHAP 2011.

Katanya, pengguna yang berdepan salah laku peniaga termasuk yang cuba mengambil keuntungan berlebihan dan mencatut, diminta mengemukakan aduan kepada saluran aduan rasmi kementerian.

Ini bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tindakan lanjut diambil. -BERNAMA

 

Media Baharu