SEPANG, 26 Jun- Penambahbaikan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan dilakukan dalam masa tiga tahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata inisiatif tersebut dijangka berupaya mengembalikan kedudukan KLIA Terminal 1, sebagai antara lapangan terbang terbaik di dunia.
Ia termasuk usaha menaik taraf sistem penggerak penumpang automasi atau aerotrain dan sistem pengendalian bagasi.
"Kita melihat kedudukan yang semakin merosot ini sebagai satu kebimbangan bahawa kita hilang daya tarikan, kita harus buat sesuatu untuk mengembalikan kedudukan itu.
"KLIA merupakan lapangan terbang yang paling penting untuk negara kita dan ia juga melambangkan imej negara.
"Beberapa projek sedang berjalan termasuk prasarana yang perlu kita tambah baik seperti aerotrain dan 'baggage handling system'...semua ini sedang berjalan.
"Bukan sahaja kemudahan tetapi mutu perkhidmatan, level of service dan juga ekosistem airport kita termasuk kemudahan, hotel, retails semuanya mesti bergerak seiring untuk menjadikan lapangan terbang kita ini satu lapangan terbang yang hebat di dunia," katanya.
(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke)
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran penginapan Capsule Transit di KLIA Terminal 1, Sepang, di sini hari ini.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, kini berada di tangga ke-67 berbanding 62 pada 2022.
Kedudukan terbaik yang pernah dicapai lapangan terbang itu adalah di tangga kedua pada 2001, sebelum merosot ke kedudukan ke-14 pada 2013 dan ke-44 pada 2018.
SAAS tidak gugat kedudukan KLIA Terminal 1
Dalam perkembangan sama, Anthony menjelaskan pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) tidak menggugat kedudukan KLIA Terminal 1.
Tegas beliau, SAAS yang berusia 58 tahun itu tidak akan menggantikan KLIA Terminal 1 sebagai lapangan terbang utama negara.
"Seperti yang saya tekankan, SAAS tidak akan menggantikan KLIA. KLIA kekal sebagai lapangan terbang utama di Malaysia. Subang sebagai terminal bandar untuk pasaran khusus, ia tidak akan menggugat KLIA. Kita akan melakukan sebaiknya untuk memastikan KLIA kekal sebagai lapangan terbang premier," jelasnya.